Tentang Kami
Apa itu Kitafund?
Kitafund merupakan sebuah platform pengumpulan dana untuk tujuan perubatan, kemanusiaan dan kecemasan, yang diuruskan oleh Kita Global Group Sdn. Bhd. (1343946-D).
Bermula pada 2014 sebagai Skolafund, laman pengumpulan dana ini bertujuan untuk membantu pelajar, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik, mengumpul dana untuk pengajian tinggi dan peluang berkaitan pengajian tinggi.
Kitafund berfungsi sebagai platform pengumpulan dana yang membolehkan pemula kempen untuk memulakan dan mengurus kempen pengumpulan dana mereka sendiri. Kitafund tidak akan bertindak sebagai penjamin atau penyedia dana kerana sebarang kos atau perbelanjaan hanya akan ditampung sehingga jumlah dana yang terkumpul di kempen. Setelah dana habis digunakan, Kitafund tidak akan menampung sebarang kos tambahan yang masih berbaki. Oleh itu, peranan kami adalah untuk memudahkan dan menyokong individu dan organisasi dalam melancarkan kempen pengumpulan dana serta memberikan mereka alat dan sumber yang diperlukan untuk mencapai matlamat. Pengguna boleh memulakan kempen, berkongsi cerita, mengumpulkan dana dan mereka dikehendaki untuk menguruskan kempen dengan bertanggungjawab termasuklah memastikan pengeluaran dana yang telus dan berkongsi kemas kini yang boleh dipercayai.
Kitafund diuruskan oleh Kita Global Group Sdn. Bhd. (KGG), sebuah syarikat persendirian berhad berdasarkan saham, di bawah Akta Syarikat Malaysia 2016. Selain menyediakan platform untuk pengguna mengumpulkan dana, Kitafund juga menjadi jambatan orang ramai untuk menyumbang bagi tujuan amal. KGG mengenakan caj pengurusan untuk setiap sumbangan yang dibuat melalui platform kepada penyumbang. Sejajar dengan ketelusan yang diharapkan daripada pengguna, caj pengurusan yang dikenakan oleh KGG dimaklumkan dengan jelas di awal proses sumbangan, membolehkan pengguna memilih sama ada Kitafund adalah tempat terbaik untuk mereka memulakan kempen. Sebagai sebuah syarikat swasta, kewangan KGG diaudit setiap tahun oleh akauntan bertauliah yang boleh dipercayai untuk memastikan ketelusan, ketepatan dan kebolehpercayaan kami.
Kami membuka peluang kepada pengguna dari pelbagai negara untuk mengumpul dana dan membuat sumbangan bagi pelbagai keperluan, daripada perubatan kepada bukan perubatan, untuk manusia dan makhluk hidupan lain. Melalui capaian antarabangsa, Kitafund akan membantu mempermudahkan kempen pengumpulan dana daripada negara yang berbeza di rantau ini, selain menyediakan peluang untuk individu dan organisasi di seluruh dunia, dan kini sedang berkembang pesat di Asia, untuk menerima sokongan kewangan daripada komuniti global.
Salah satu pertimbangan pengurusan yang paling penting untuk KGG ialah menerima dan mengagihkan sumbangan dalam pelbagai mata wang. Di bawah peraturan kawalan pertukaran Malaysia, KGG boleh menerima sumbangan dalam Ringgit Malaysia (RM) daripada penduduk Malaysia dan mata wang asing daripada penduduk luar negara. Pendudukan luar negara tidak boleh menderma dalam RM, dan penyumbang di Malaysia tidak dibenarkan menyumbang dalam mata wang asing. Tambahan pula, KGG hanya boleh membuat pengeluaran dana di luar Malaysia dalam mata wang asing kerana pengeluaran dalam RM adalah dilarang. Dengan semangat untuk patuh, KGG mendapatkan nasihat undang-undang daripada pengamal swasta terkemuka tentang proses pengumpulan dana dan pengeluaran, memastikan prosesnya mengikut undang-undang yang terpakai di Malaysia.
Kitafund sebagai Platform Terbuka untuk Semua
Kitafund ialah platform terbuka di mana semua orang boleh memulakan kempen pengumpulan dana, menjadikannya mudah diakses oleh orang ramai untuk pelbagai sebab. Sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap ketelusan dan keselamatan, Kitafund mempunyai pasukan khusus yang membuat pengesahan bagi setiap kempen sebelum dilancarkan. Kami bekerjasama dengan hospital dan NGO yang membantu kami memastikan kempen sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan. Selain itu, pasukan siasatan kami akan menjalankan semakan berkala terhadap kempen yang berjalan untuk memastikan ketelusan dan dana digunakan dengan betul. Untuk mengekalkan akauntabiliti dan membantu melindungi penyumbang, Kitafund mewajibkan pengumpul dana memberikan kemas kini berkala tentang kemajuan pengumpulan dana mereka sebelum pengeluaran dana dibuat. Pendirian neutral dan ketelusan Kitafund membolehkan semua orang mengumpul dana tanpa berat sebelah atau prejudis, selagi mana beroperasi dalam sempadan undang-undang dan etika.
Kitafund bukan sahaja membantu orang ramai mengumpul dana untuk keperluan perubatan, seperti pembedahan dan rawatan, tetapi juga keperluan bukan perubatan, seperti pendidikan, projek amal, pembangunan komuniti, bantuan bencana dan kecemasan peribadi. Kitafund membenarkan orang ramai untuk menjalankan kempen dan mengumpulkan sokongan untuk sebarang tujuan penting. Berikut ialah jenis kempen yang boleh dijalankan di Kitafund:
- Peribadi
Kitafund membenarkan individu membuat kempen pengumpulan dana mereka sendiri. Individu tersebut boleh membuat kempen mereka sendiri secara langsung melalui platform Kitafund, untuk sebarang jenis kempen seperti perubatan atau bukan perubatan. - Hospital
Kami memudahkan kempen pengumpulan dana yang menyumbang secara langsung kepada penjagaan pesakit, penyelidikan perubatan dan peningkatan kemudahan penjagaan kesihatan melalui kerjasama kami dengan hospital. Kerjasama ini memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang kritikal mudah diperolehi oleh mereka yang memerlukan, dan orang ramai boleh mengambil bahagian dalam inisiatif menyelamatkan nyawa. - NGO
Melalui kerjasama kami dengan NGO, kami menyokong pelbagai tujuan seperti bantuan bencana dan keadilan sosial. Kami menyediakan alat dan keterlihatan yang diperlukan organisasi untuk mendapatkan lebih banyak capaian dan sumbangan. - Universiti
Kerjasama dengan universiti membuka jalan baharu untuk kemajuan akademik dan penglibatan komuniti. Dengan bekerjasama dengan institusi pendidikan, kami memperkasakan mereka yang berada dalam bidang pendidikan untuk melancarkan kempen yang akan membiayai biasiswa, penyelidikan, projek sosial dan keperluan pendidikan lain.
Di Kitafund, kami memastikan semua sumbangan diberikan terus kepada rakan kongsi yang dipercayai untuk memastikan dana sampai kepada orang yang tepat dengan cepat dan selamat, membolehkan mereka menggunakan dana dengan efektif untuk tujuan yang dinyatakan.
Sejak 2019, Kitafund komited membantu mereka yang memerlukan.
Kitafund telah mengumpulkan
RM27++ juta
Bekerjasama dengan
350,000++ ribu penyumbang
Kami telah membantu
4000++ kempen
Kami percaya, kerjasama kita untuk membuat kebaikan akan terus berkembang dan lebih berkesan kerana kami sentiasa mengalu-alukan penyumbang baru setiap hari.
Dan hari ini, anda mungkin sebahagian daripadanya.
Jadi, jom sebarkan kebaikan dan ubah hidup lebih ramai orang!
Apa Yang Anda Bayar untuk Menyumbang.
Apabila anda membuat sumbangan di platform Kitafund, bayaran tambahan akan dikenakan untuk menampung kos pengurusan dan platform seperti berikut:
- Yuran Gerbang Pembayaran
Caj ini dikenakan oleh syarikat yang menguruskan gerbang pembayaran. Kitafund tidak mendapat keuntungan daripada caj ini. Caj adalah seperti yang disenaraikan di bawah, berdasarkan jenis pembayaran:
- Razer (Molpay): RM1 setiap transaksi
- Stripe: RM1 + 5% daripada jumlah derma
- E-wallet (Grab, Boost, TouchnGo): RM1 setiap transaksi
- Yuran Platform
Yuran ini dicaj oleh Kitafund. Bayaran tambahan daripada jumlah derma akan dikenakan. Kitafund mengenakan caj pengurusan untuk menyokong keperluan pengurusan platform, seperti mengesahkan pengumpul dana dengan menyemak identiti dan dokumen, mengurus pembangunan teknologi untuk melancarkan proses pengumpulan dana dan menyumbang, memastikan keselamatan dana dengan memantau pematuhan terma dan syarat, dan menampung kos tambahan yang berkaitan. Kitafund memastikan semua dana diuruskan secara telus, yang akan membawa kepada penambahbaikan berterusan dan keselamatan platform terjamin.
Sebagai contoh, jika penyumbang ingin menyumbang RM10 kepada kempen menggunakan Perbankan Dalam Talian, jumlah yang perlu dibayar ialah RM10 (Sumbangan) + RM1 (Yuran Gerbang Pembayaran Molpay) + RM0.50 (Yuran Platform Kitafund). Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh penyumbang dalam satu transaksi adalah RM11.50.
Laporan Kewangan Kitafund
Laporan kewangan boleh diakses secara umum di sini.