Bertarung Demi Keluarga: Kisah Seorang Ayah 10 Anak Menghadapi Kemalangan
RM 30,156 raisedFundraiser
Bertarung Demi Keluarga: Kisah Seorang Ayah 10 Anak Menghadapi Dugaan
Pada tanggal 17 Disember 2024, hidup Mohd. Idham Bin Mohd. Radzee, seorang bapa kepada sepuluh anak, berubah dalam sekelip mata. Ketika dalam perjalanan pulang ke Ara Damansara selepas menghantar anaknya ke kolej di Port Dickson, beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengerikan. Kemalangan itu mengakibatkan pendarahan dalam kepala, dagu koyak, bahu kiri patah, rusuk kiri patah, dan kaki kirinya juga patah
Sebagai seorang rider ShopeeFood, Idham merupakan tunggak utama keluarga. Beliau bekerja keras untuk memastikan keperluan isteri dan anak-anaknya terjamin. Namun, selepas kemalangan itu, segalanya berubah. Beliau kini terlantar, tidak mampu bergerak secara normal, apatah lagi keluar mencari rezeki.
Trauma dan Kesakitan yang Tiada Henti
Idham telah menjalani pembedahan kaki untuk memasukkan besi dan skru, namun proses pemulihannya panjang dan menyakitkan. Tidak hanya fizikalnya terjejas, tetapi juga mentalnya. Setiap malam, beliau sering bermimpi tentang detik hitam itu, terjaga dalam keadaan berpeluh, dan sukar untuk kembali tidur. Kesakitan pada kaki yang menyerang tanpa diduga membuatkan beliau sukar untuk berehat dengan tenang
“Sebagai seorang suami dan ayah, saya rasa sangat 'down'. Saya rasa tidak berguna dan hanya menyusahkan isteri,” katanya sambil mengakui, air matanya sering tumpah melihat keadaannya sekarang.
Perjuangan Keluarga Besar
Isterinya, Shafiqah Nur Aimanina, seorang suri rumah, kini memikul tanggungjawab yang sangat besar. Dengan 10 anak yang berumur antara 1 hingga 22 tahun, dia bukan sahaja menjaga keperluan anak-anak tetapi juga menjadi tulang belakang Idham, menguruskan makan minum, mandi, dan menjaga lukanya
“Kos rawatan suami sangat tinggi. Susu khas berharga RM86 setin, pampers RM18.90 untuk sepuluh keping, dan setiap kali cuci luka serta dressing, kosnya RM90. Itu belum termasuk kos perjalanan ke hospital untuk rawatan fisioterapi yang akan datang,” jelas Shafiqah.
Idham mengakui bahawa tanggungannya besar, dengan keperluan anak-anak yang masih kecil seperti susu, lampin, dan pakaian. Tanpa sebarang pendapatan, keluarga ini berdepan cabaran besar untuk meneruskan kehidupan.
Harapan untuk Masa Depan
Idham kini hanya mampu bergantung pada bantuan dan sokongan daripada insan yang prihatin. Dia berharap agar bantuan yang diterima dapat meringankan beban kewangan keluarganya, sementara dia berjuang untuk pulih daripada kecederaan.
“Anak-anak saya masih kecil. Mereka perlukan saya. Saya tidak tahu cara apa lagi yang boleh saya lakukan untuk memastikan kehidupan mereka terus berjalan. Bantuan ini sangat penting untuk keluarga saya. Saya hanya mampu berserah dan berharap agar ada yang sudi membantu kami,” ujarnya penuh harapan.
Kisah ini adalah bukti betapa kehidupan boleh berubah sekelip mata, tetapi juga menyerlahkan kekuatan sebuah keluarga yang bersatu menghadapi dugaan.
JUMLAH KEBAIKAN YANG DIPERLUKAN = RM60,541
BAGAIMANA UNTUK MENYUMBANG?
1. Klik "Sumbang"
2. Masukkan jumlah yang ingin disumbang
3. Masukkan maklumat anda
4. Pilih cara pembayaran dan buat sumbangan
5. Sumbangan berjaya dan resit akan dihantar melalui e-mel